Email : fpm@umt.edu.my | Phone : 609-668 3791/3784 |

Dean’s Message

ABOUT US       Dean's Message

Tahniah dan selamat datang warga baharu Fakulti Pengajian Maritim (FPM), Universiti  Malaysia Terengganu (UMT).

Terlebih dahulu, saya dan seluruh warga UMT amnya dan FPM khususnya mengalu-alukan kedatangan semua Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian yang kini sudah melangkah ke Menara Gading untuk meneruskan perjuangan mendapatkan ilmu peringkat tinggi dalam pengajian maritim. Perjalanan seribu batu bermula dari langkah pertama. Saya percaya, ibu dan bapa dan ahli keluarga, menaruh harapan ke atas anda, justeru itu usaha dan kerja  keras wajar dilakukan dalam mencapai kecemerlangan pendidikan di sepanjang pengajian  di UMT. Hargailah dan manfaatkan peluang ini untuk mencapai kejayaan dan mencipta kegemilangan ilmu bagi meneruskan kecemerlangan yang telah dilakar oleh Alumni UMT  yang kini berada di serata tempat dalam dan luar negara, mencurah bakti dan menyumbang  demi kesejerahteraan dan kemakmuran Malaysia dan kehidupan sejagat.

Buku panduan akademik program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2022/2023 ini  merupakan panduan asas dalam menyediakan informasi yang berguna kepada semua Mahasiswa dan Mahasiswi warga FPM ambilan sesi ini. UMT mendukung aspirasi pengajian tinggi negara seperti yang terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025. UMT bertanggungjawab dalam merealisasikan lonjakan  pertama PPPM iaitu pembentukan graduan yang yang cemerlang keseluruhannya  berteraskan tiga hasrat utama iaitu ‘holistic’, ‘entrepreneurial’ dan ‘balanced graduates’. Hal  ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menggariskan tanggungjawab dalam memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat,  negara dan komuniti global. Justeru itu, bidang tujahan UMT berdasarkan ‘Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik’ amatlah bertepatan dengan matlamat FPM dalam melahirkan modal  insan berkualiti dan secara langsung dapat mempersiapkan negara setanding dengan  negara maju.

Malaysia merupakan negara bertuah kerana mempunyai kedudukan strategik di laluan perdagangan dunia. Kerancakan industri maritim terutama sektor perkapalan dan  pelabuhan merupakan elemen penting dalam pencapaian dan perkembangan yang dinamik  dan telah menjadi tonggak kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyumbang kepada peningkatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi memenuhi perubahan  semasa industri maritim dan keperluan tenaga mahir pada masa hadapan, FPM berupaya menawarkan program akademik berkualiti di peringkat Ijazah Pertama terutamanya bidang  yang berfokuskan kepada pengajian maritim dan sains nautika.

Dalam memastikan perkhidmatan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta  menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua (SDG 4) serta  memulihara sumber akuatik dan marin dan pembangunan lestari (SDG14) dalam era Industrial Revolution (IR) 4.0, FPM telah mengorak langkah kearah pembelajaran  berasaskan industri di mana, program penerapan Work Based Learning (WBL) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Kuantan bagi program Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) telah dilaksanakan dengan jayanya untuk memberi peluang kepada  para pelajar membina pengalaman industri di dua pelabuhan terkemuka di Malaysia.

Program Sarjana Muda Sains (Sains Nautika & Pengangkutan Maritim) juga telah diktiraf  oleh Jabatan Laut Malaysia dan menerima akreditasi Watch Keeping Officer (WKO) pada tahun 2019. FPM juga mempunyai Malaysian Maritime Logistics & Transport Centre  (MaLTraC), merupakan pusat pengangkutan dan logistik maritim yang pertama  seumpamanya di Malaysia yang diperkasakan menjadi pusat rujukan serta pendidikan bagi  pengumpulan data berkaitan pengangkutan maritim. Sebuah makmal Sains Nautika dan  Makmal Komuniti Maritim diwujudkan bagi membantu mahasiswa dan mahasiswi dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan IR 4.0 kerana pusat ini dilengkapi dengan  kemudahan simulator pembelajaran terkini berasaskan digital. Dengan adanya kemudahan-  kemudahan yang disediakan ini akan dapat membantu peningkatan modal insan professional dalam bidarıg pengajian maritim, seterusnya mampu meningkatkan keboleh pasaran graduan keluaran UMT.

Dalam arus kemajuan teknologi digital yang semakin berkembang pesat, Revolusi Industri  (IR 4.0) ternyata telah membuka banyak peluang dan manfaat dalam aspek pengurusan, industri dan komersil. Secara menyeluruhnya, IR 4.0 dilihat sebagai satu proses transformasi sosio-ekonomi yang berterusan dan lestari untuk kesejahteraan kehidupan.  Bagi mendepani transformasi tersebut, para pelajar mesti dilengkapi dengan kemahiran dan  pengetahuan dalam teknologi maklumat seperti yang diperlukan oleh IR 4.0. FPM telah mengorak langkah ke arah pembangunan teknologi dalam akademik berasaskan IR 4.0  melalui penerapan elemen digitalisasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini pastinya dapat membantu pencapaian pelajar di samping mendidik minda agar lebih bersedia  terhadap persaingan kerjaya dan kehidupan sekaligus dapat mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.

Saya percaya kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan biasanya diukur melalui kualiti  yang terdapat dalam kalangan ahli akademiknya. FPM dibarisi oleh ahli akademik yang berkualiti dan komited dalam aspek pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan. Mereka  sangat professional dan berpegang kepada nilai teras akademik bagi memastikan bahawa hasil pembelajaran iaitu Program Learning Outcome (PLO) dan Course Learning Outcome  (CLO) tercapai. Selain itu, mereka juga berkaliber dalam membangun kepakaran melalui ‘penyelidikan sepanjang hayat’ dan telah menghasilkan penerbitan berimpak tinggi dalam bidang maritim dan sains nautika. FPM juga mempunyai hubungan yang erat dengan rakan industri dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri untuk memacu  pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Hal ini selaras dengan matlamat FPM ke arah  menjadikan fakulti berasaskan industri dan penyelidikan bagi tempoh 2 tahun akan datang (2022-2024).

Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada  Ahli Jawatankuasa yang terlibat dalam penerbitan buku panduan akademik ini. Besarlah harapan saya agar Mahasiswa dan Mahasiswi dapat memanfaatkan buku panduan  akademik ini dalam merancang pengajian akademik dengan teratur untuk mencapai kecemerlangan serta mempersiapkan diri anda dengan kehidupan kampus demi membina  sahsiah dan minda yang hebat. Di sinilah tapak untuk anda bermula dalam melakar perjalanan seterusnya selaku warga UMT dan ingatlah, kecemerlangan kita mesti diukur  bukan sahaja atas kemajuan diri sendiri tetapi sejauh mana kecemerlangan ini juga dapat dikecapi oleh semua di sekeliling kita. Jadikanlah ilmu yang dipelajari di universiti ini sebagai  asas dalam membina masa depan yang lebih gemilang dan seterusnya menjadi warga negara yang profesional dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan  negara.

Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu  serendah mutiara di lautan. Selamat Maju Jaya!

‘TEROKAAN SELUAS LAUTAN DEMI KELESTARIAN SEJAGAT’

PROFESOR WAN MOHD NORSANI B. WAN NIK

DEKAN

Fakulti Pengajian Maritim, UMT